Pages

Thursday, 1 December 2011

makna murtad


PENDAHULUAN
Akhir-akhir ini murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat
Islam di mana-mana sahaja, di dalam perbualan harian, didalam akhbar-akhbar,
majalah-majalah dan disebut juga didalam ceramah-ceramah. Selain itu,
mungkin ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad
sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu
keluar dari agama Islam dan menganut agama lain.



 
DEFINISI MURTAD
Perkataan murtad berasal dari Bahasa Arab iaitu  riddah atau irtidad. Dari sudut
bahasa perkataan  riddah kebiasaannya membawa maksud kembali atau rujuk
iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang  lain. Adapun perkataan
irtidad  membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan
agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk
mempercayai agama lain. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggalkan
atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana
akidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samaada dengan
melalui perkataan, perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan
hati
.
PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN MURTAD 

Menurut Islam, murtad boleh terjadi dengan melakukan salah satu daripada tiga
perkara berikut :-
Pertama : Melalui perkataan atau ucapan dan kata-kata. (Murtad Qawli)
Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata yang
dikeluarkan oleh seseorang Islam yang menunjukkan dia menolak hukum-hukum
Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau
kata-kata yang menghina mana-mana ajaran Islam, hukum-hukum Islam,
menghina Allah SWT, menghina nabi Muhammad SAW dan  nabi-nabi lain dan
sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib
berpuasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain. Begitu juga
kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang diharamkan oleh Allah dan
rasulnya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang  halal yang telah
disepakati oleh para ulama tentang halal atau haramnya seperti dia
menghalalkan zina, menghalalkan liwat (hubungan sejenis), menghalalkan
minum arak atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jualbeli dan
seterusnya. Maka sikap demikian boleh menjadi murtad.

Kedua : Melalui perbuatan atau tingkahlaku. (Murtad Fi’li)
Murtad juga boleh berlaku melalui apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkahlaku
yang boleh membatalkan imannya, maka seseorang itu  boleh menjadi murtad
seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau
kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain
daripada Allah SWT seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain. Begitu
juga yang meninggalkan sembahyang fardu atau puasa  Ramadhan dengan
mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia
mengingkari salah satu perkara wajib yang telah diketahui oleh setiap orang
Islam, tetapi kalau dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak
menjadi murtad. Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah
dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan Al-Quran ke tempat-tempat
kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadis dan tafsir atau memijak-mijaknya
dengan niat menghina.

Ketiga : Melalui akidah, kepercayaan atau niat. (Murtad I’tiqadi)
Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang
Islam mengingkari didalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia
yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa
agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jenayah Islam)
tidak layak dilaksanakan sekarang di dalam masyarakat moden. Begitu juga
apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam
ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi.
Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa nabi Muhammad SAW bukan
nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh
manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah
hukum-hukum lampau, tidak sesuai dengan zaman moden sekarang. Dia
menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktikad tidak ada dosa dan
pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak  dibangkitkan semula
sesudah mati, beriktikad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam atau
berbalik-balik hati antara mahu menjadi kafir pada masa akan datang dan lainlain lagi keyakinan dan iktikad yang salah.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA MURTAD

1 - Tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu dan bapa.

2 - Tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibubapa atau keluarga
 yang bercerai.
 
3 - Tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing yang mendapat
 halangan keluarga.

sumber :www.muftiwp.gov.my

No comments:

Post a Comment